Penghasilan Peta Utiliti Bawah Tanah

Menerusi Kaedah Pengukuran Utiliti Bawah Tanah

Pihak Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) menjalankan kaedah Pengukuran Utiliti Bawah Tanah bagi mencari dan mengenal-pasti jajaran aset utiliti sedia ada bawah tanah yang merangkumi kabel elektrik, kabel telekomunikasi, paip air, paip gas dan saliran pembentungan. Dua kaedah yang diguna-pakai KUSEL adalah kaedah Ground Penetrating Radar dan Pipe Cable Locater, di mana hasil dapatan akan diterjemahkan kepada Pelan Utiliti Bawah Tanah.  

Ground Penetrating Radar bermaksud peralatan yang berfungsi bagi mengesan dan merekodkan kedudukan dan kedalaman pepasangan utiliti bawah tanah berasaskan interpretasi imej dengan menggunakan kaedah radar. Pipe Cable Locater pula terdiri daripada dua bahagian utama, pemancar dan penerima. Pemancar mengeluarkan frekuensi yang dipilih oleh operator yang menghala ke paip dan kabel yang berdekatan.  

Gabungan proses pemetaan yang dilengkapi peta topografi akan memberi satu bentuk pelan pemetaan utiliti yang komprehensif bagi membantu perancangan pembangunan dan infrastruktur di Negeri Selangor. Berdasarkan Pelan Utiliti Bawah Tanah yang telah direkodkan menerusi kedua-dua kaedah di atas, pihak KUSEL sedang membangunkan Selangor Geographic Information System, iaitu sebuah  sistem pangkalan data aset utiliti bawah tanah di Negeri Selangor, yang mempunyai kepentingan yang signifikan dalam pembangunan infrastruktur utiliti di Negeri ini.